October 5, 2021

ISLAMIC TOURISM CENTRE (ITC) KOMITED KE ARAH PEMBANGUNAN KEUSAHAWANAN DAN KEPIMPINAN SEGMEN PELANCONGAN ISLAM

Islamic Tourism Centre (ITC) adalah penganjur Seminar Keusahawanan dan Kepimpinan Pelancongan Islam (ITELS) yang akan diadakan pada 21 Oktober 2021

PUTRAJAYA, MALAYSIA, 5 OKTOBER 2021: Islamic Tourism Centre (ITC), sebuah agensi di bawah Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya Malaysia (MOTAC) bertekad untuk terus memperkasa dan membangunkan modal insan dalam segmen Pelancongan Islam melalui keusahawanan dan kepimpinan (entrepreneurship and leadership).

ITC meneroka lebih jauh dengan menganjurkan Seminar Keusahawanan dan Kepimpinan Pelancongan Islam (Islamic Tourism Entrepreneurship and Leadership Seminar – ITELS) pada 21 Oktober 2021.

Ketua Pengarah ITC, Dato’ Dr. Mohmed Razip Haji Hasan berkata bahawa inisiatif ini bertujuan untuk menarik minat golongan muda menceburi bidang Pelancongan Islam yang kian berkembang.

Malah katanya, Pelancongan Islam dijangka akan terus berkembang pada tahun-tahun mendatang dan pasaran segmen ini bukan sahaja tertumpu kepada satu rantau seperti Timur Tengah dan Afrika Utara (MENA) bahkan merentasi pelbagai pelosok dunia dari Asia Tengah ke Asia Tenggara di mana populasi rakyat beragama Islam adalah tinggi.

Tambah beliau, dengan jangkaan populasi Muslim yang kian berkembang, pelancongan Islam berpotensi tinggi untuk menjadi segmen pelancongan yang utama, insha Allah.

“Selain mendorong dan memperkasakan lagi golongan belia, ITC melihat inisiatif sebegini mampu memberi idea mencari pendapatan melalui tawaran-tawaran produk Pelancongan Islam,” jelas Dato’ Dr. Mohmed Razip lebih lanjut.

Seminar ITELS ini akan diadakan secara maya pada 21 Oktober 2021 bermula dari jam 9.00 pagi hingga 5.00 petang. Menteri MOTAC, Dato’ Sri Hajah Nancy Shukri dijadualkan akan menyampaikan ucaptama dalam edisi pertama seminar ini.

Ia juga menampilkan perkongsian dari pihak Majlis Amanah Rakyat (MARA) yang akan memberi fokus kepada bantuan dana kewangan kepada usahawan pelancongan. Penjelasan mengenai Skim Pembiayaan Perniagaan Prihatin Mikro (S3P) dan DanaNita yang merupakan dana untuk meningkatkan penglibatan wanita dalam keusahawanan adalah antara topik-topik utama.

PERNAS, agensi yang menerajui pembangunan industri francais di Malaysia, juga turut serta dalam seminar ini. Perkongsian dari PERNAS menjurus kepada aspek pengurusan kewangan yang teratur untuk membantu mensejahterakan perniagaan para usahawan pada masa hadapan.

Topik-topik menarik yang akan disampaikan oleh barisan panel penceramah, termasuklah:

a. Pengenalan Pelancongan Islam & Potensi Pasaran Pelancong Muslim
Dato’ Dr. Mohmed Razip Hasan, Ketua Pengarah, Islamic Tourism Centre

b. Taklimat Dana Bantuan Usahawan
A. Razu Abdul Razak, Pengarah – Pembiayaan Perniagaan, Majlis Amanah Rakyat (MARA)

c. Kepentingan Pensijilan Halal dalam Pelancongan Islam
Ustaz Amri Abdullah, Penganalisis, MyHalal TV1

d. Pengenalan Standard Pelancongan dan Hospitaliti Mesra Muslim
Puan Fakheezah Borhan, Penolong Pengarah Kanan
Jabatan Standard Malaysia

e. Industri Spa Mesra Muslim
Puan Hana Halim, Naib Presiden
Persatuan Spa Malaysia

f. Kepimpinan Keusahawanan dalam Pelancongan Islam
Puan Liz Othman, Master Coach
Persatuan Jurulatih Kesejahteraan Malaysia

g. Perancangan dan Pengurusan Kewangan
Encik Mohd Fuad Halim, Ketua Koordinasi PERNAS Outreach Programme

ITC berharap penganjuran program ITELS ini dapat memupuk kesedaran belia terhadap peluang keusahawanan dalam segmen ini. Ia juga sebagai usaha menyahut panggilan Kerajaan untuk memantapkan peranan belia dalam pembangunan negara melalui pembangunan modal insan dan pemerkasaan ekonomi belia.

Industri pelancongan merupakan salah satu sektor utama yang menyumbang kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK). Malah pembangunan industri Halal merupakan antara agenda utama Kerajaan Malaysia dalam pelaksanaan Rancangan Malaysia ke-12 yang dirangka oleh Unit Perancangan Ekonomi (EPU) Malaysia. EPU melaporkan industri Halal dijangka menyumbang kepada 8.1 peratus KDNK dan menjana pendapatan eksport sebanyak RM56 bilion pada tahun 2025.

Sesi ini turut menyediakan peluang kepada para peserta untuk memenangi baucer penginapan 3 hari 2 malam di Sunway Resort City Kuala Lumpur Hotels.

Orang ramai yang berminat untuk menyertai seminar tersebut boleh melayari pautan ini. 
atau mengimbas kod QR:

 

 

 

 

 

 

 

TAMAT

Islamic Tourism Centre (ITC) atau Pusat Pelancongan Islam merupakan sebuah agensi di bawah Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya Malaysia yang diamanahkan untuk membangunkan segmen Pelancongan Islam di Malaysia. Sejak penubuhannya pada tahun 2009, ITC mendukung pembangunan Pelancongan Islam serta penjenamaan Pelancongan Mesra Muslim (Muslim-Friendly Tourism) melalui perkhidmatan yang ditawarkan seperti penyelidikan dan maklumat risikan pasaran, latihan, konsultasi pembangunan industri, piawaian dan pensijilan perkhidmatan pelancongan dan hospitaliti Mesra-Muslim, serta perkongsian maklumat.

Pada tahun 2021, ITC telah menerima Anugerah Kerjasama Perniagaan Strategik (Strategic Business Alliance Award) di The BrandLaureate World Halal Best Brand E-Branding Awards 2021. Ia merupakan pengiktirafan terhadap usaha dan inisiatif ITC dalam merangka strategi baharu demi kelangsungan dan kelestarian Pelancongan Islam.

Selain itu, Malaysia juga telah dinobatkan sebagai negara terulung serantau dalam sektor Pelancongan Mesra Muslim oleh State of the Global Islamic Economy (SGIE) Report 2020/21. Malaysia juga telah mempertahankan kedudukannya sebagai destinasi Mesra-Muslim terbaik dalam MasterCard-CrescentRating Global Muslim Travel Index (GMTI) 2021 untuk kali keenam berturut-turut sejak 2015.

Pencapaian-pencapaian di atas adalah dorongan kepada ITC untuk terus perkukuhkan usahanya sebagai penggerak utama dan institusi yang penting dalam memastikan Malaysia terus berada di hadapan dalam sektor Pelancongan Islam.

Untuk maklumat lanjut, sila hubungi:
Islamic Tourism Centre,
Level 13, Ministry of Tourism, Arts and Culture Malaysia
No. 2 Tower 1, Jalan P5/6,
Precinct 5, 62200 Putrajaya, Malaysia
Tel: 03-8891 7177 or via email itc@mymuslimtrip.com/v2

Ikuti ITC di platform-platform sosial ini:

Facebook: Islamic Tourism Centre
Twitter: @itc_my
Instagram: @itc_my
YouTube: Islamic Tourism Centre

Leave a Comment

Your email address will not be published.